Mutiara Dari Quran

“Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya”.
(Al-Anfal: 30)

AKU ANAK SARAWAK

AKU ANAK SARAWAK

Dunia Multimediaku

Tuesday, March 30, 2010

Tak Perlu Jadi Ustaz!



Alhamdulillah, hari ini kita sebagai orang-orang Islam sedar bahawa Islam bukanlah milik orang-orang Arab atau Melayu sahaja tetapi adalah untuk seluruh umat manusia. Malangnya kita umat Islam hari ini telah lalai dari tanggung-jawab yang diamanahkan Allah kepada kita untuk menyampai da’wah Islam kepada mereka yang belum terima Hidayah lagi. Allah swt mencela golongan seperti ini dalam Surah Al-Baqarah 2:140

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya? Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan”.

Na’uzubillah, janganlah kita termasuk dalam golongan ini.Allah swt memberikan penghormatan kepada kita orang-orang Islam didalam surah Ali Imran 3:110

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi(faedah) umat manusia”.

Kita pun rasa sangat seronok mendengarkan ayat ini. Namun begitu kita lupa bahawa setiap penghormatan itu datang bersama tanggung-jawab. Lagi besar suatu penghormatan maka lagi beratlah tanggung-jawab yang harus dipikul. Tanggung-jawab yang diamanahkan oleh Allah kepada kita orang-orang Islam yang melayakkan kita di gelar ‘sebaik-baik umat’ juga disebut dalam ayat yang sama; “(Kerana) kamu menyuruh membuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah”. Ini bermakna kita harus menjadi masyarakat ‘amar maaruf nahi munkar’ iaitu melakukan da’wah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam secara serentak.

Allah swt mengatakan didalam surah Al-Asr 103:1-3

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar”. ‘Berpesan-pesan dengan kebenaran’

bermakna melakukan ‘amal maaruf nahi munkar’ yakni melakukan da’wah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam. Ayat ini jelas menunjukkan tanggung-jawab melakukan da’wah bukan tugas ustaz, imam atau Jabatan Agama sahaja tetapi adalah tanggung-jawab setiap orang Islam.

Didalam Khutbah terakhir, Rasulullah saw telah bertanya kepada para sahabah yang tidak kurang dari 110,000 orang “Adakah aku telah sampaikan pesanan Islam” dan para sahabah pun secara serentak menjawab “Ya Rasulullah! Kau telah sampaikan”. Maka Rasulullah saw seterusnya memerintahkan mereka “Siapa-siapa yang hadir disini, sampaikanlah kepada mereka yang tidak hadir”. Para sahabat pun faham akan perintah Rasulullah saw lalu keluar dari negeri Arab menyampaikan da’wah Islamiah. Maka Islam telah pun sampai ke Negeri Cina, India, Sepanyol dan seterusnya ke Malaysia. Alhamdulillah, sahabat-sahabat dulu tidak ada sikap macam kita iaitu hanya mahu bercerita tentang Islam sekiranya ada yang bertanya tetapi sebaliknya telah bertebaran kepelbagai pelusuk dunia dalam menyampaikan syiar Islam.

Didalam Shahih Bukhari jilid 4 hadith 667 diriwayatkan dari Abdullah Ibn Amr bahawa Rasulullah saw telah bersabda

“sampaikanlah walau satu ayat”.

Kita tidak perlu dapatkan Phd atau ijazah atau menjadi ustaz / ustazah dalam menyampaikan da’wah Islam. Walaupun kita tahu satu ayat dalam Qur’an, kita boleh menyampaikannya. Sebagai orang Islam, kita tahu lebih dari satu ayat. Sekurang-kurangnya kita tahu ‘La ilaha ilallah’, maka sampaikanlah ia.

Dewasa ini dunia kita sudah berubah menjadi materialistic. Setiap perkara yang dilakukan mesti ada ganjaran atau keuntungan. Allah swt mengajak kita berniaga denganNya dalam Surah As-Saff 61:10-11 “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan hartabenda dan diri kamu”.

Kini bila berniaga kita hendak tahu peratusan keuntungannya. Keuntungan yang dijanjikan oleh Allah swt dalam Surah Al-Baqarah 2:261 adalah

“Bandingan (derma) orang-orang yang belanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya”.

Yakni setiap satu biji benih tumbuh menjadi tujuh ratus biji benih. Didalam bahasa perniagaan, ini adalah keuntungan yang tidak kurang dari 70,000%! Mana ada perniagaan lain didunia ini yang menjamin 100% pulangan keuntungan sehingga 70,000%?

‘Master key’ untuk melakukan da’wah kepada orang-orang bukan Islam ada diterangkan dalam Surah Ali Imram 3:64

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dan kamu, iaitu kita semua tidak sembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya suatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah’.

Semoga memperoleh iktibar dan kesedaran kita akan tanggungjawab dan dakwah salah satu daripada 'jalan' bagi orang-orang yang beriman.

www.shahkirit.com

6 Perkara Allah Sembunyikan Daripada Aku




Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap). Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata:-

"Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?."
Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud.. "Tidak" Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun. Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud.

"Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad.' Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu."

Kemudian Jibrail as berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?" Lalu Allah berfirman yang bermaksud. "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal..." Kemudian Jibrail as meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma'waa.

Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail as selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud:

"Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?" Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan....."

Marilah sama2 kita fikirkan dan berusaha lakukan... Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara iaitu :-

* Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).
* Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.

Semoga kita mendapat berkat daripada ilmu ini. Wallahualam.

Friday, March 26, 2010

Geli Babi!

Pelik! Geli pada Babi, tapi suka dengan Arak, Zina dan Judi


Pelik bukan, kekadang tersenyum mendengar manusia mengutuk babi sebagai suatu yang kotor dan haram. Tetapi tak pernah pulak geli pada arak dan zina. Bahkan itulah antara ‘favorite’ umat Islam hari ini.

Firman Allah yg bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman ! sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. ( 5 : 90 )



Hari ini, jika ditanya kepada masyarakat, apakah antara perkara haram dalam Islam?. Pasti, jawapan yang popular ialah arak, judi, zina, makan babi, minum arak dan sebagainya. Masyarakat mengetahui hakikat tegahan Allah ini, tetapi masih lagi umat Islam yang memonopoli kebejatan akhlak ini. Bukan telah terang dan jelas tegahan ini diwar-warkan di media massa dan majlis-majlis ilmu.
Semakin hari, semakin menjauh dari kehidupan orang mukmin. Mereka pada hari ini, dengan lantangnya menyatakan kegelian mereka pada babi, tetapi tidak sama sekali pada arak, zina dan judi. Fenomena inilah yang menjangkiti hati-hati umat Islam sehingga menjadikan mereka sanggup memilah perkara-perkara haram ini jika dibandingkan keperluan anak dan isteri.

Sungguh menyedihkan, kalau di Palestin, remaja dan pemuda serta tidak terlepas juga kaum wanita berusaha menyuarakan suara mereka bagi menghidupkan semula Negara Islam mereka. Tetapi jika di Malaysia, bila ditegur maka lantanglah suara mereka menyatakan “apa kau peduli?” ataupun dialog-dialog yang lebih kurang dengannya. Inikah sebuah Negara Islam?. Pihak berkuasa harus turun padang bersama masyarakat untuk membasmi kebejatan ini. Jika tidak, tidak hairanlah jika negara kita bakal mencatat kadar jenayah yang sangat tinggi suatu hari kelak sehingga negara ini semak dengan sampah-sampah masyarakat.




Perhatikan kebenaran dan tiada yang lebih berhak daripada perkara-perkara yang hak. Angkatlah martabat Islam. Doakan semua kejahilan ini akan bertukar kepada cahaya iman yang menyinar.

Wednesday, March 17, 2010

Usah meminggirkan Al-Quran!!


Al-Quran itu Kalamullah yang suci. Ia mukjizat terbesar anugerah ALLAH kepada Rasulullah SAW. Mukjizat dan panduan teragung.. Ambil dan hayatilah Al-Quran di dalam posisi dan situasi mana pun, nescaya ia akan menerbit dan menumbuhkan kemuliaan. Itulah kebenaran yang dijelaskan oleh Rasulullah pilihan.

Firman ALLAH swt :
“Sesungguhnya telah Kami turunkan sebuah Kitab kepadamu yang di dalamnya terdapat sebab-sebab kemuliaan bagimu. Maka apakah kamu tidak memahaminya?”(al-Anbiya:10)

Individu yang sentiasa dekat dan mesra dengan AL-Quran, insya ALLAH akan gemilanglah dirinya dengan kemuliaan.

Hiasilah permulaan majlis ilmu, usrah, tazkirah, mesyuarat dan perbincangan kita, subjek pertama pengajian anak2 kita, dengan AL-Quran. Insya ALLAH, natijahnya akan membuahkan kemuliaan.

Imam An-Nawawi Rahimahullah berkata :
“ Banyak kalangan ulama yang menganjurkan agar dibacakan Al-Quran oleh orang yang bersuara merdu di setiap pembukaan majlis-majlis ilmu.”

Hidupkan ‘suasana’ Al-Quran di dalam rumah kita, insya ALLAH akan bertandanglah kemuliaan.

Rumah tangga yang dimuliakan Allah akan menjadi syurga yang disegerakan. Penuh kasih saying dan ketenangan. Rezeki yang mencukupi. Menjadi medan pahala dan hasanat buat seisi keluarga. Terpelihara dari kejahatan syaitan, sama ada dari kalangan jin ataupun dari kalangan manusia.

Amat sedih apabila rumah tangga sebahagian Muslim pada akhir zaman kekal berorientasikan kejahilan, kebendaan dan hiburan semata-mata. Seakan-akan lupa bahawa nikmat berkeluarga dan memiliki rumah itu adalah anugerah ALLAH Yang Maha Pemurah.


Al-Quran menjadi sangat asing kepada seisi keluarga. Untuk satu tempoh yang amat lama ia telah terpinggir dan dipinggirkan.

Al-Quran hanya barangkali hadir berupa bacaan surah Yasiin yang dibacakan kepada salah seorang anggota keluarga yang meninggal dunia. Itupun dibacakan oleh jiran tetangga dan jemaah masjid serta surau. Manakala anak menantu dan cucu meminggir diri terkulat-kulat dan terkebil-kebil memerhatikan atau berbual-bual di sudut dapur dan beranda. Tanpa tercetus sedikit pun keinsafan saat memandang ‘keranda’.

Jadikan pejabat dan syarikat kita berorientasikan Al-Quran. Insya ALLAH akan bertamulah kemuliaan.

Warnailah kampong dan komuniti kita dengan penghayatan al-Quran. Insya ALLAH akan hadirlah kemuliaan.

Suluhlah daerah, wilayah, negeri dan Negara kita dengan nur Al-Quran, maka insya ALLAH akan bersimbah dan meratalah kemuliaan.

Rujuklah Al-Quran dalam segenap aspek kehidupan dan bidang kerjaya kita, insya ALLAH akan melimpahlah kemuliaan.

Hampirkanlah diri kita dengan Al-Quran. Maka insya ALLAH, Dia akan sentiasa bersama, hampir dan dekat dengan tidak kira di mana jua.

Ingatlah bahawa segala ‘kemuliaan’ yang kita nyatakan baik berupa rahmat, pimpinan, pertolongan, keberkatan, pembelaan, rezeki, ketenangan, kebahagiaan akan meminggir sejauh-jauhnya bahkan lenyap dari hidup kita, bilamana kita sendiri yang bersikap ‘bodoh sombong’ meminggirkan Al-Quran dan pengajarannya dari rutin dan lanskap kehidupan kita!

Apabila kemuliaan ditarik balik oleh ALLAH, maka wajarlah dibinbangi bahawa yang bakal mengambil tempat dan ruang saat itu adalah kehinaan, kerosakan, ketidaktentuan, kekalahan, kecelaruan, kerendahan, kepunahan dan segala penyudah yang menakutkan!

Karya : Ustad Amaluddin Mohd Napiah
Majalah ANIS keluaran MAC 2010 dalam ruangan SUNAH HIKMAH

Tragedi Hitam 3 Mac 1924

KERUNTUHAN DAULAH KHALIFAH
www.iluvislam.com



3 Mac 1924, tahukah anda apakah peristiwa penting yg berlaku pada tarikh keramat ini? Ianya merupakan titik hitam di dalam sejarah umat Islam yang tidak harus dilupakan oleh kaum Muslimin. Pada tarikh inilah umat Islam secara rasmi telah kehilangan perisai dan tonggak tempat mereka berlindung - Khilafah Islamiyyah. Khalifah yang terakhir, Sultan Abdul Majid telah diusir meninggalkan pusat pentadbiran Daulah Khilafah di Turki pada subuh hari tersebut hasil daripada persidangan Majlis Nasional yang diketuai oleh La’natullah Mustafa Kamal melalui konspirasi jahat kafir Barat. Konspirasi ini dapat dilihat dengan jelas daripada ungkapan Menteri Luar Inggeris, Lord Curzon berikutan runtuhnya Daulah Khilafah; “Persoalan utamanya adalah bahawa Turki telah dihancurkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatan spiritual mereka, iaitu Khilafah dan Islam” .

Pada hakikatnya, keruntuhan Daulah Khilafah bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Pertentangan antara dua peradaban ini (Islam dan Kufur) telahpun berlaku sejak awal Rasulullah diangkat sebagai Rasul lagi. Daulah Khilafah yang dirobohkan ini merupakan kesinambungan Negara Islam yang didirikan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam di Madinah selepas berlakunya peristiwa Hijrah. Khalifah Abu Bakar As Siddiq merupakan orang pertama yang memulakan diari Negara Khilafah diikuti oleh Khalifah ‘Umar Al Khattab, Khalifah Osman bin ‘Affan dan Khalifah Ali bin Abu Talib di mana zaman pemerintahan mereka dikenali juga sebagai era Khilafah Rasyidah. Selepas itu kekhilafah diteruskan oleh Bani Umaiyyah diikuti kekhilafahan Bani Abbasiyah dan terakhir, kekhilafahan Bani Uthmaniyyah yang semuanya berlarutan lebih 1300 tahun. Benarlah sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam sepertimana yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Hazim yang berkata:

“Aku telah mengikuti majlis Abu Hurairah selama lima tahun dan pernah aku mendengarnya menyampaikan hadits dari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam yang bersabda:
“Dahulu Bani Israil dipimpin dan dipelihara urusannya oleh para nabi. Setiap kali seseorang nabi wafat, digantikan oleh nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada nabi sesudahku. (Tetapi) nanti akan ada banyak khalifah.’ Para sahabat bertanya: ‘Apakah yang engkau perintahkan kepada kami?’ Baginda menjawab: ‘Penuhilah bai’at yang pertama dan yang pertama itu sahaja. Berikanlah kepada mereka hak mereka, kerana Allah nanti akan menuntut pertanggungjawaban dari mereka tentang rakyat yang dibebankan urusannya kepada mereka”

Sepanjang tempoh tersebut Islam telah menjangkau dan meliputi 2/3 dunia (lihat rajah kawasan umat Islam pada abad ke 15) dari Timur ke Barat. Sehingga itu juga banyak kejayaan yang telah dicapai dan rahmat melimpah ke atas umat manusia sepertimana Firman Allah:

”Dan tidak kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekelian alam”
[TMQ al-Anbiya’ 21:107]


Malapetaka ketiadaan Khilafah

Kehinaan yang menimpa umat Islam secara bertali arus sehingga ke hari ini adalah merupakan kesan dari tiadanya kekuatan politik di dalam tubuh umat Islam – tiadanya sebuah kepimpinan umum umat Islam (Al-Khilafah) yang menerapkan hukum-hukum Islam di dalam Negara Islam dan menyebarkan Islam ke luar Negara melalui dakwah dan jihad. Malapetaka yang terus menerus menimpa kaum Muslimin merupakan rentetan dari tiadanya perlaksanaan ke atas perintah Allah secara menyeluruh. Dari firman Allah di atas, adalah merupakan suatu kepastian bahawa dengan terlaksananya hukum-hukum syara’ secara menyeluruh, alam ini pasti akan dipenuhi rahmat Allah.

Namun apa yang kita perhatikan hari ini adalah perintah dan larangan Allah hanya tinggal sebagai tulisan-tulisan di dalam kitab sebagai rujukan akademik dan bukannya sesuatu yang diterapkan sebagai penyelesaian bagi masalah umat manusia. Rentetan dari itu, masalah gejala sosial, murtad, seks bebas, Aids, dadah dan sebagainya kini menjadi lumrah dan keluhan di bibir umat. Hakikatnya, penyelesaian bagi semua masalah-masalah ini telahpun dijelaskan oleh Allah dan RasulNya dengan penyelesaian yang hakiki. Apa yang perlu dilakukan adalah menerapkannya secara menyeluruh.


Salah satu malapetaka yang cukup menyedihkan yang menimpa umat Islam akibat dari kelalaian umat dalam menerapkan hukum Allah secara menyeluruh adalah dari segi ekonomi. Lihat sahajalah di negeri-negeri umat Islam, hasil bumi mereka seperti petroleum, emas dan perak yang sepatutnya menjadi milik umat telah dimonopoli oleh kapitalis Barat dan juga menjadi milik peribadi penguasa mereka. Akibatnya, umat Islam hidup dengan penuh kemiskinan dan menagih simpati di bumi sendiri. Di Iraq, sebagai contoh, akibat dari ketamakan Barat, 120,000 orang terbunuh di sepanjang 2003-2005, 5 juta kehilangan nyawa akibat embargo, 5000 kanak-kanak meninggal setiap bulan dan 100,000 meninggal akibat radiasi nuklear [Perang Iraq-AS, COMES: 2003]. Dominasi ideologi kapitalis yang kufur pada hari bukan sahaja membawa pelbagai kesengsaraan kepada umat Islam, malah kepada lebih 60% umat manusia di dunia. Kemiskinan, kehinaan dan kesengsaraan termanifestasi di seluruh dunia. Di dalam dunia yang serba canggih ini, masih terdapat 1.214 billion orang miskin, 78% kanak-kanak kekurangan zat, 11 ribu kanak-kanak mati kelaparan setiap hari dan lebih dari 800 juta orang kelaparan di seluruh dunia di mana 70% di antara mereka adalah wanita dan anak-anak. [Shukor Rahman, World Food Program, New Staits of Malaysia Times, 2001]. Semua ini berlaku dalam keadaan 20% dari penduduk dunia menerima lebih dari 60% dari kekayaannya!!! [100 ways of seeing an unequal world – Bob Sutcliffe]. Di Malaysia sendiri, individu terkaya di negara ini memiliki harta melebihi RM 11 bilion sedangkan pendapatan per kapita rakyatnya hanya sekitar RM 1700; malah masih ramai lagi rakyat termiskin yang tidak dapat menampung perbelanjaan keluarga mereka. Dengan kenaikan harga petrol sebanyak 30 sen baru-baru ini, sudah pasti bebanan rakyat akan bertambah dan bagi yang sudahpun berada di dalam keadaan yang sempit, mereka ini bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga...

Soalan yang pasti akan bermain di minda adalah kemanakah perginya segala kekayaan hasil bumi anugerah Allah yang menjadi milik umat Islam keseluruhannya? Kemanakah perginya kekayaan dari petroleum, gas, hasil balak dan lain-lain sumber asli yang begitu banyak dikurniakan Allah kepada kaum Muslimin?? Dalam dunia kapitalis hari ini, kekayaan yang sewajarnya menjadi milik umat, kini diraut oleh para kapitalis yang tidak pernah kenyang dari ketamakan mereka. Akibatnya merintihlah umat untuk mendapatkan bantuan perubatan, pendidikan dan keperluan asas kehidupannya kerana negara telah melepaskan tanggungjawab utamanya – menjaga urusan umat.

Dalam aspek pendidikan pula, cengkaman ideologi kapitalisme yang berasaskan aqidah sekular secara langsung memainkan peranan besar dalam perkembangan kurikulum di semua negeri umat Islam. Barat mengetahui bahawa dengan mengawal pemikiran umat melalui pengaruh yang mendasar ke atas kurikulum pendidikan, arah tuju umat dapat dialihkan kepada apa yang mereka inginkan. Realiti, dan bukan wahyu dijadikan sebagai sumber pemikiran. Akibatnya, realitilah yang menentukan jalan pemikiran dan bukannya berfungsi sebagai objek pemikiran. Akhirnya, akan lahirlah manusia yang pragmatik dan liberal – manusia yang langsung tidak merasa perlu untuk kembali kepada perintah Allah dalam menentukan mana yang baik dan mana yang buruk. Hari ini, dengan dominasi sistem pendidikan Barat, pengajian ilmu dan tsaqafah Islam menjadi sekadar proses pemindahan ilmu untuk ’dipelajari’ bukan untuk diterapkan dan diamalkan. Akhirnya agama diambil hanya dalam konteks hubungan makhluk dengan Tuhannya sahaja (’ibadah khusus), tidak lebih dari itu. Akibatnya lahirlah masyarakat sekular yang memegang aqidah Islam namun tidak mengambil Islam sebagai penyelesai bagi masalah-masalah kehidupan mereka. Mereka hidup semata-mata ingin meraih dunia tanpa komitmen yang kuat terhadap Islam. Mereka merasa cukup selesa meletakkan Islam hanya sebagai isu peribadi tanpa kesedaran bahawa mereka sebenarnya bertanggungjawab menerapkannya.

Malapetaka yang menimpa kaum Muslimin akibat dari tiadanya Islam dalam kehidupan juga dapat dilihat dalam aspek politik. Satu persatu negeri umat Islam dijajah secara ketenteraan; Iraq, Palestin dan Afghanistan merupakan contoh yang amat jelas. Manakala di negeri kafir umat Islam turut dibunuh dan dihina seperti di Thailand, Filiphina, Rusia serta Perancis. Di negeri-negeri lain, penguasa umat Islam tidak dapat memboloskan diri dari cengkaman negara ’super power’ AS seolah-olah akan berlaku bencana yang amat besar sekiranya telunjuknya tidak dipatuhi. Dalam keadaan ini, kaum kafir begitu bermaharajalela sehinggakan penghinaan ke atas Rasulullah melalui karikaturnya terus dipandang sepi oleh penguasa-penguasa umat Islam. Mereka (penguasa muslim) ini nampaknya sehingga hari ini tidak pernah mengambil pendirian yang tegas dalam menyelesaikan masalah tersebut. Dengan nada penuh kehinaan mereka hanya mampu menyeru kepada penyelesaian melalui dialog dan kompromi dengan kuffar, suatu yang mereka, kaum kafir, sambut dengan tangan terbuka. Dan pada waktu yang sama penguasa-penguasa ini menekan kebangkitan umat yang mahukan penyelesaian yang lebih tegas. Di manakah pendirian kita sebagai umat yang mulia?


Gambaran pemikiran umat Islam hari ini

Terdapat berbagai kelompok yang menyedari kegawatan permasalahan umat Islam kini. Namun usaha mereka masih belum dapat menyelesaikan masalah utama umat Islam malah menimbulkan banyak lagi masalah lain. Ini berlaku akibat dari kekeliruan mereka dalam menangani masalah tersebut. Kelompok yang ikhlas ini terlalu menumpukan tenaga mereka dalam menyelesaikan masalah cabang, namun, terlepas pandang masalah yang lebih mendasar. Contohnya, penyelesaian masalah murtad yang hangat suatu ketika dahulu. Dalam mempertahankan kedudukan mahkamah syariah mereka juga bertekad untuk mengekalkan perkara 121 Perlembagaan Persekutuan yang kononnya melindungi umat Islam padahal permasalahan yang lebih mendasar adalah kedudukan perlembagaan itu sendiri. Perlembagaan ini, pada hakikatnya tidak didasarkan kepada aqidah Islam dan merupakan ciptaan manusia sedangkan hak untuk membuat hukum itu hanya terletak di tangan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Oleh itu, isu yang menjadi dasar permasalahan yang sepatutnya diperhatikan adalah mengembalikan hukum Allah dalam aspek perundangan dan kenegaraan secara menyeluruh, bukannya berpuas hati dengan penyelesaian secara separuh-separuh.

Selain itu, natijah daripada diterapkannya sistem pendidikan sekular telah menimbulkan berbagai pemikiran yang rosak di dalam umat. Akibat dari acuan kekufuran yang telah ditanam di dalam pemikiran umat oleh sistem ini, mereka memandang nasionalisme, patriotisme dan demokrasi kapitalisme sebagai pemikiran yang benar dan mendarah daging di dalam tubuh mereka sehingga tidak kelihatan lagi pemikiran lain di dalamnya, apatah lagi pemikiran Islam. Malah ada yang menganggap bahawa kembali kepada Islam itu hanya memberi makna kembali ke zaman silam yang mundur. Tidak kurang juga yang melihat Islam sebagai pemikiran yang tidak lengkap dan uzur sehingga ia perlu diselaraskan, atau diubah, sekiranya perlu, agar selaras dengan perkembangan geo-politik dan sosio-ekonomi dunia. Inilah realiti pemikiran kaum Muslimin hari ini akibat dari penerapan ideologi kufur di tengah-tengah umat.

Kewajiban mendirikan Khilafah

Pada saat ini umat Islam adalah bagaikan anak ayam yang kehilangan ibunya; kehinaan menimpa mereka di mana-mana. Mereka berusaha mencari kemuliaan dengan berbagai-bagai cara namun masih belum lagi menemuinya. Hakikatnya, inilah permasalahan ’hidup dan mati’ yang dihadapi oleh umat hari ini. Satu-satunya penyelesaian yang tuntas adalah dengan menegakkan semula Khilafah. Benar, menegakkan Khilafah bukanlah semudah mengatakannnya. Untuk meraih kejayaan ini, umat haruslah bersungguh-sungguh berusaha untuk mencapainya melalui pengkajian, pembinaan dan perjuangan yang tidak kenal lelah. Usaha keras untuk mengembalikan Islam sebagai ideologi yang mendominasi dunia ini bukan sahaja merupakan satu-satunya jalan yang harus ditempuh oleh kaum Muslimin, malah, ia merupakan kewajiban setiap muslim untuk melakukannya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman;

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan pemimpin daripada kamu...”
[TMQ an-Nisa’ 4:59]

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda yang bermaksud;
”Siapa saja yang mati tanpa tanpa ada baiat (kepada imam/khalifah) di pundaknya, maka matinya adalah mati jahiliah” [HR Muslim].

Kedua-dua nas di atas menyatakan kewajiban setiap individu muslim untuk melantik (bai’at) pemimpin (Khalifah) yang akan menjaga urusan mereka. Namun kewajiban bai’at tersebut tidak akan terlaksana jika tidak ada orang yang hendak dibai’at. Oleh itu usaha untuk melantik atau mendirikan Khilafah itu sendiri menjadi pokok persoalan utama bagi memastikan tertegaknya Islam.
.
Realiti musibah demi musibah yang menimpa umat pada hari ini juga menunjukkan bahawa tidak ada cara lain yang lebih utama untuk mengembalikan kemuliaan umat yang terbaik ini selain dengan mendirikan semula Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah.

Sesungguhnya janji Allah dan Rasul dalam perkara ini adalah jelas sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis di bawah;

”Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda: Masa kenabian itu ada di tengah-tengah kalian, adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya masa kerajaan yang menggigit (Mulkan ’Adhan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Setelah itu, masa kerajaan yang menyombong (Mulkan Jabariyyan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah). Kemudian beliau (Nabi) diam.”
[HR Ahmad dan Baihaqi dari Nuâman bin Basyir dari Hudzaifah]

Jalan untuk mendirikan semula Khilafah

Khilafah adalah bentuk sistem pemerintahan Islam seperti yang diamal dan dijalankan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mendirikan Khilafah bukanlah usaha yang berbentuk individu, namun, ia merupakan usaha yang berbentuk jamaah. Bagi memastikan bahawa jamaah ini bergerak di atas jalan yang benar, ia haruslah memiliki fikrah (pemikiran) dan tariqah (jalan/kaedah) yang jelas dan benar. Dan kebenaran hanya dapat diperoleh dari nas yang kuat. Dengan kejelasan dan kebenaran fikrah dan tariqah ini, jamaah tersebut akan dapat bergerak memimpin umat menegakkan semula Khilafah. Pada masa yang sama, setiap individu muslim haruslah berusaha bersungguh-sungguh, bersama dengan jamaah ini ke arah mengembalikan kehidupan Islam. Ini sesuai dengan kaedah syara’ yang berbunyi;
”Tidak sempurna sesuatu kewajiban melainkan dengannya maka ia menjadi wajib”

Menerapkan Islam secara menyeluruh merupakan suatu kewajiban. Ini tidak akan dapat dijalankan sepenuhnya tanpa kekuasaan dan Khilafah Islam merupakan satu-satunya bentuk kekuasaan yang sah di sisi syara’. Kini Khilafah tidak wujud. Mewujudkan Khilafah menjadi suatu kewajiban dan tanpa jamaah, kewajiban ini tidak akan dapat dijalankan. Dan selagi jamaah ini masih belum berjaya menegakkan Khilafah, maka di atas setiap pundak kaum Muslimin ada kewajiban untuk bersama-sama jamaah ini menegakkan Islam.

Jamaah ini haruslah berjuang dan beraktiviti sebagai sebuah parti politik, kerana aktiviti mendirikan negara, menguruskan negara dan menjaga urusan umat Islam adalah merupakan aktiviti politik. Syariat Islam tidak pula menetapkan bilangan jamaah yang harus ada bagi menjalankan aktiviti ini. Yang ditetapkan Islam adalah kewajiban mewujudkan jamaah untuk menyeru kepada Islam dan melakukan aktiviti amar ma’ruf dan nahi mungkar. Allah berfirman di dalam surah Al Imran ayat 104.

“Dan hendaklah ada daripada kamu satu umat (jamaah); mereka menyeru kepada kebaikan mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah perkara munkar dan mereka adalah orang-orang yang berjaya”

Wahai kaum muslimin,

Semenjak kejatuhan Daulah Khilafah pada 3hb Mac 1924, umat terus ditimpa musibah yang tidak putus-putus. Umat, meskipun berada dalam keadaan yang tertekan, terus berpecah-belah dan saling bertelagah. Namun keadaannya berbeza dengan kaum kuffar. Mereka bersatu mempertahankan Denmark ketika negara tersebut diancam dengan pemulauan. Kata-kata Presiden EU baru-baru ini mempertahankan pendirian Denmark untuk tidak meminta maaf kepada kaum Muslimin menghidupkan semula memori Perang Salib. Apakah peristiwa penghinaan ke atas Rasul, kezaliman Yahudi dan pencerobohan mereka ke atas Qiblah-al-awwal, penghinaan ke atas Al-Quran, penyiksaan ke atas tahanan Islam di Teluk Guantanamo dan Penjara Abu Ghareeb serta banyak lagi penyeksaan ke atas kaum Muslimin masih belum cukup bagi kita untuk menyadari bahawa tiada penyelesaian lain bagi kaum Muslimin kecuali dengan menegakkan Negara Islam Khilafah? Semoga Allah menanamkan kesedaran ini kepada kaum Muslimin dan mempercepatkan berdirinya Daulah Khilafah. Marilah kita sama-sama berdoa agar 3hb Mac tahun ini merupakan hari peringatan terakhir bagi kaum Muslimin sebelum kemenangan gilang-gemilang dikurniakan Allah kepada umat yang mulia ini!. Amin.

Followers

Fb Comment

ANA DAN FB

ANA DAN FB
fiqamuhammad

Aktiviti Masjid Al Muttaqin Sarikei

MAJLIS ILMU:(antara Magrib dan Isya')

RABU:

kuliyyah oleh Ustaz Syed Harold (JAIS)

JUMAAT:

kuliyyah Tafsir Al Quran

oleh Ustaz Zainal (HIKMAH)

SABTU:

Kuliyyah Tafsir Al Quran

oleh Ustaz Zamri Rajab (YAM @ ABIM)

AHAD:

Kuliyyah Fiqh

oleh Ustaz Ghazali Khan(Ustaz Pele)

sama-sama kita mengimarahkan masjid Al Muttaqin Sarikei